KEGHAIRAHAN sesetengah wanita untuk memiliki kulit cerah dengan cara cepat menggunakan ‘kosmetik murahan’ menenggelamkan nasihat pakar kecantikan dan kesihatan, walaupun bahaya mengenai bahan terlarang sudah acap kali dibincangkan.
Kecantikan seseorang wanita tidak hanya terletak pada warna kulit atau tebalnya solekan di muka. Ukuran kecantikan sejagat membabitkan jati diri dan keperibadian mulia.
Bagaimanapun, bukan semua orang boleh menerima pendapat begini. Dalam satu kaji selidik oleh Synovate pada 2004, 61 peratus wanita dari lima negara iaitu Hong Kong, Malaysia, Filipina, Korea Selatan dan Taiwan berkata, mereka tampak lebih muda jika memiliki kulit cerah.
Kaji selidik berkenaan juga mendapati, 50 peratus wanita Filipina, 45 peratus wanita Hong Kong dan 41 peratus wanita Malaysia menggunakan produk pencerah wajah.
Kenapa warna kulit kita berbeza-beza? Warna kulit ditentukan oleh penghasilan melanin pada lapisan sel bawah kulit. Lebih banyak melanin dihasilkan, kulit akan menjadi lebih gelap.
Tuhan tidak akan mencipta sesuatu tanpa fungsi tertentu dan melanin adalah daya pertahanan semula jadi untuk kulit terhadap sinar ultra lembayung dalam cahaya matahari.
Tanpa melanin, kulit kita sebenarnya lemah dan perlu dilindungi daripada cahaya matahari bagi mengelak kemungkinan mendapat kanser kulit.
Malangnya, ramai tidak sedar hakikat ini dan ingin membuang bahan berkenaan supaya tampak lebih cantik.
Sebelum anda mencuba mana-mana produk kecantikan, terutama jenama yang tidak pernah didengar sebelum ini, satu perkara perlu diingat iaitu anda memperjudikan bahagian paling penting iaitu muka untuk menerima apa jua kesan sampingan produk berkenaan.
Jadi sebelum melumurkan sebarang krim, tanya pada diri, sanggupkah anda menjadikan muka sebagai tempat ujian yang tidak pasti lagi kesannya?
No comments:
Post a Comment